Thursday, 13 April 2017

(Ekonomi)  10 sen

Dahulu 10 sen amat bernilai
Mampu memenuhkan perut dengan makanan
Cukup untuk anak kecil berbelanja
Adanya amat bermakna
Hilangnya amat terasa

Kini dunia semakin moden
10 sen hanyalah besi berat berkarat
Bertaburan disini sana
Luput sudah nilainya
Tidak lagi berharga


(Tentang Diri)  Aku Gagah

Kerap kali melangkah
Pasti tersungkur ke tanah
Disepak, namun aku tidak mengalah
Aku gagahkan jua untuk bangkit dan terus berdiri

Kini ribut mendatang tidak lagi aku bergoncang
Tidak lagi aku tersungkur menjamah tanah
Tika disepak aku mampu mengelak
Kini aku berdiri tegak


(Sahabat) Muka Talam

Teman dihadapanku
Sentiasa memuji dan menyanjung
Wajahnya manis bak madu selautan

Tatkala musibah menimpa dirinya
Meminta bantuan dengan penuh harapan
Mengharap musibah diringankan
Dengan ikhlas aku menghulurkan

Berpaling saja wajahku
Berbatu mencemuhku
Berbakul menghinaku
Bertabur aibku

Kawan
Terima kasih daku ucapkan
Atas persahabatan




Wednesday, 12 April 2017

(Aspek Sains) Gadget

Manusia semakin gila
Kepada gadget menjadi hamba
Lupa diri lupa dunia
Dikuasai gadget sepanjang masa

Kitab kalam ditinggalkan
Kitab elektronik menjadi pegangan

Kini manusia hilang kemanusiaan


(Patriotik)  Merdeka

Merdeka, 
Kata-kata yang kosong ertinya
Tidak lagi bernilai dihati masyarakat
Kekalutan hidup penyebab runtuh luhur kemerdekaan

Merdeka,  merdeka, 
Anak-anak tidak lagi mengenal parameswara
Yang remaja tidak mengenal peristiwa bukit kepong
Warga tua tidak mampu mengebarkan jalur negara

Terkuburlah sejarah negara



(Alam Sekitar) Rimba

Rimba,
Kehijauan mu memukau pandangan
Menarik setiap pelusuk kehidupan
Mendampingimu untuk ketenangan

Rimba, 
Kau memiliki aliran sungai
Kedinginannya masih terngiang dikepala
Keindahannya menjadi lakaran indah dalam kehidupan

Rimba, 
Kini kau dikhianati
Oleh makhluk berambut hitam
Memusnahkanmu dengan kejam

Ayuhlah bangkit menjaga alam
Kerana kita hanya meminjam
Dari anak cucu kita akan datang 



(Aspek Sains) Hukum Sains

Pelopor sains dianggap gila
Setiap ungkapan
Bersahihkan bukti
Setiap keputusan
Besertakan rujukan
Tiada tolak ansur dalam perbicaraan
Pemikiran melampau batas kemanusiaan
Menyusahkan



(Pendidikan) Guru

Belajar tanpa guru
Bagai kapal tanpa pengemudi
Layar mampu diturunkan
Angin mampu memandu kapal
Tapi tiada arah tujuan
Akhirnya sesat dipertengahan perlayaran



(Masa Depan Alam) Payung Nusantara

Melambai aku dihembus bayu
Hijau menghening warna tunasku
Lebar memayungi penghuni nusantara
Melindungi dari panas sang suria

Kini lahir makhluk baharu
Membelai aku dengan penuh manja
Menjadikan aku sahabat setia
Itulah Sang manusia

Namun manusia mengkhianati persahabatan
Dengan rakus membunuhku
Tanpa belas kasihan
Tidak memikirkan perasaanku
Manusia pentingkan diri sendiri

Kini aku tidak bersisa
Hilang semuanya dimamah manusia
Panas nusantara tiada payungnya
Sang suria mengganas membakar manusia
Kekesalan manusia tiada penghujungnya


(Budaya) Kuda Kepang

Aku ditarikan zaman berzaman
Adat resam budaya tempatan
Mercu tanda johor selatan
Kuda Kepang tarian warisan

Kini aku disalah arti
Tarian dianggap berunsur entiti
Disebabkan insan yang tak mengenal seni
Menyalah guna untuk kepentingan diri

Kini aku hilang nilainya
Kerana dianggap sesat caranya
Hanya sebahagian yang masih mempersembahkannya
Untuk mengekalkan kewujudan budaya




 
(Sejarah) Semangat Pahlawan

Semua gugur tidak bersisa
Seorang demi seorang menjamah butir senjata
Darah bertabur terserak merata
Bukit kepong sejarah negara

Semangat pahlawan tinggi membara
Tidak gentar menghunus senjata
Perwira pertiwi bangkit bersama
Demi memangkas pertualang bangsa

Namun takdir yang maha esa
Tumpas semuanya dibedil senjata 
Tapi semangat kekal membara
Kini negara aman merdeka.